BIACC, PBMP METERAI PERJANJIAN OPERASI DUA ICD

BIACC, PBMP METERAI PERJANJIAN OPERASI DUA ICD

BIACC Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (PBMP) telah memeterai dua perjanjian penyewaan bagi pengurusan, operasi dan penyelenggaraan Depot Kontena Darat (ICD) di Sungai Tujoh dan Kuala Lurah pada majlis penandatanganan yang berlangsung secara maya, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIACC, di sini, menandatangani bagi pihak BIACC ialah Setiausaha Tetap (Pelaburan) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Pengerusi BIACC, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan PBMP diwakili Pemangku Ketua Eksekutif, Kapten Abdul Mateen Abdurrahman Liew @ Martin.

Penandatanganan itu merupakan satu mercu tanda penting bagi BIACC, sebuah syarikat berkaitan kerajaan di bawah Darussalam Assets Sdn Bhd (DA), dalam pelan strategiknya untuk menyokong usaha merealisasikan wawasan 2035 melalui keutamaan strategik yang digariskan dalam Pelan Tindakan

Ekonomi Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam menyediakan rangkaian pengangkutan yang dihubungkan dengan baik, mudah dan boleh dipercayai melalui darat, laut dan udara yang dapat memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan dengan efisien serta disokong oleh infrastruktur logistik dan pengangkutan yang dikembangkan dengan baik bagi meningkatkan peluang-peluang serta akses pasaran.

Lokasi strategik kedua-dua ICD berkenaan yang berhampiran dengan sempadan di antara Brunei dan Sarawak, Malaysia akan membolehkan BIACC untuk memudahkan dan mempercepatkan pergerakan transaksi kargo merentas sempadan bagi pengedaran domestik dan serantau dalam kaedah yang lebih efisien.

Pelbagai kemudahan dan perkhidmatan pengendalian akan ditawarkan bagi manfaat operator-operator dalam rantaian pengangkutan dan logistik kedua-dua belah sempadan.

Kompleks ICD itu juga akan memuatkan pejabat Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, agensi-agensi kerajaan lain serta syarikat penghantaran barang dan ejen perkapalan untuk memenuhi keperluan pelanggan kargo.

Kenyataan menjelaskan bahawa antara kemudahan dan perkhidmatan utama yang akan diperkenalkan termasuk pergudangan berikat, pergudangan pemenuhan e-dagang merentas sempadan, penyimpanan sementara, pemprosesan dokumen, perkhidmatan pembersihan bagi kontena, pusat pemprosesan bungkusan, sea container clearance import and export warehousing with build-up and break down services serta perkhidmatan pengangkutan merentas sempadan dan seluruh negara.

 

Haji Khairuddin (kanan) menandatangani perjanjian bagi BIACC Sdn Bhd dan Kapten Abdul Mateen Abdurrahman Liew @ Martin (kiri) mewakili PBMP pada majlis penandatanganan secara maya itu. – Gambar serahan BIACC

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.