Ketahui Fakta Mengenai Transformasi Industri Telekomunikasi

Ketahui Fakta Mengenai Transformasi Industri Telekomunikasi

22 November 2019

Mesej tular mengenai program transformasi industri telekomunikasi yang sedang dijalankan telah diedarkan baru-baru ini melalui media sosial, dan adalah mengandungi maklumat yang tidak sah dan tidak benar.

Tuntutan bahawa pekerja dan kakitangan syarikat telekomunikasi akan “diberhentikan”, “dibuang kerja”, atau “terpaksa berhenti” adalah palsu dan tidak berasas. Komitmen Darussalam Assets Sdn Bhd, sebagai pemegang saham syarikat-syarikat telekomunikasi, adalah bahawa tidak akan ada pemberhentian kerja akibat transformasi. Ini telah disampaikan kepada pekerja dan kakitangan syarikat telekomunikasi pada bulan Februari tahun ini dan komitmen ini tetap ditekankan dalam komunikasi dalaman syarikat masing-masing.

Begitu juga, kenyataan mesej tular yang mendakwa bahawa transformasi struktur industri menghadkan persaingan di pasaran adalah tidak tepat. Transformasi ini akan meningkatkan lagi persaingan dan memberi setiap pembekal perkhidmatan telekomunikasi akses kepada teknologi dan infrastruktur yang lebih meluas. Setiap rakyat Brunei akan mendapat manfaat daripada pilihan yang semakin meningkat, pelbagai perkhidmatan dan inovasi digital setelah transformasi dilaksanakan.

Apa-apa percubaan yang sengaja atau tindakan tidak sengaja yang mengelirukan orang ramai mengenai isu-isu penting seperti ini amat dikesali. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai maklumat yang tidak disahkan yang disebarkan menerusi media sosial.

Keyakinan dan sokongan rakyat ke atas transformasi industri telekomunikasi pada setakat ini adalah dihargai, demi masa depan yang lebih cerah dan menyokong Brunei kearah ekonomi digital, dan komitmen untuk memastikan kesemua orang Brunei tidak tertinggal dalam proses transformasi.

No Comments

Post A Comment