Pelancaran Kempen BAHDigital Untuk Memperlihatkan Langkah Negara Ke Arah Revolusi Industri ke-4

Pelancaran Kempen BAHDigital Untuk Memperlihatkan Langkah Negara Ke Arah Revolusi Industri ke-4

18 April 2020

Negara Brunei Darussalam kini bersedia untuk mengalu-alukan revolusi teknologi melalui BAHDigital, iaitu sebuah platform dalam talian (online) yang menggabungkan isi kandungan seperti kajian kes (case studies), cerita dan peralatan (tools) bagi pengguna untuk menghadapi masa depan yang berteraskan digital. Sebagai inisiatif dari Majlis Ekonomi Digital, Negara Brunei Darussalam, dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Darussalam Assets Sdn Bhd, kempen BAHDigital akan menjadi kunci dalam mempamerkan keupayaan teknologi info-komunikasi (ICT) dalam semua sektor dan industri di Negara ini.

Nama BAHDigital telah dipilih untuk mencerminkan penggabungan budaya Brunei yang diintegrasikan dengan teknologi moden digital ke arah realiti baharu Brunei. Hari ini menandakan pelancaran kempen BAHDigital melalui laman web BAHDigital, iaitu https://www.bahdigital.com/ dan melalui laman-laman media sosial, https://www.instagram.com/bahdigitalbn/ di Instagram dan https://www.facebook.com/bahdigitalbrunei/ di Facebook.

Sumber-sumber yang dikongsikan melalui platform BAHDigital akan membolehkan negara untuk memanfaatkan Revolusi Industri ke-4, apatah lagi dalam era masa kini dimana teknologi dan trend seperti robotics, virtual reality, artificial intelligence (AI) dan Internet of Things (IOT) membentuk cara hidup dan kerja yang baharu. Teknologi-teknologi ini akan memperkayakan cara hidup, sepertimana ianya dimanfaatkan melalui pelbagai inisiatif dalam menangani cabaran penularan wabak COVID-19. Transformasi sektor ICT yang telah dilaksanakan pada awal tahun ini merupakan penanda penting dalam perjalanan Negara Brunei Darussalam kearah masa depan digital yang telah membuka laluan bagi pelancaran pelan-pelan baharu oleh Datastream Digital Sdn Bhd (DST), imagine Sdn Bhd dan Progresif Sdn Bhd, dengan infrastruktur yang disediakan oleh Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) .

BAHDigital bertujuan untuk meneroka cara-cara teknologi dan trend yang boleh digunakan di Negara Brunei Darussalam dengan merangkumi aspirasi untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Smart Nation yang berpandangan ke hadapan di samping mengekalkan budaya dan warisan. Isi kandungan BAHDigital akan disalurkan melalui enam tumpuan utama yang penting dalam pembangunan ekonomi negara iaitu Kesihatan, Pelancongan, Gig Economy, Pendidikan, E-Perdagangan dan E-Kerajaan.

Objektif utama dalam penciptaan platform BAHDigital ini adalah untuk mendokong pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035. Antara matlamat yang ingin dicapai oleh BAHDigital dalam masa yang terdekat ini adalah untuk menerapkan teknologi baharu dalam sektor yang menggunakan kaedah konvensional dalam menjalankan perkhidmatan. Ini sudah dapat dilihat dalam usaha menangani situasi global penularan wabak COVID-19 pada masa ini dimana perkhidmatan digital kini menjadi amat penting dalam pengendalian aktiviti asas harian seperti pembelian barang keperluan rumah, pembayaran bil dan meneruskan pekerjaan seperti biasa.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah memulakan inisiatif-inisiatif seperti memperluaskan perkhidmatan e-Kerajaan termasuk pembayaran bil secara dalam talian, pembaharuan lesen, pengurusan aplikasi perniagaan dan juga peluang pekerjaan. Platform Big Data dan Artificial Intelligence (AICOVID-19, iaitu www.healthinfo.gov.bn merupakan contoh yang menunjukkan bagaimana teknologi digital dapat membantu masyarakat untuk lebih memahami mengenai virus COVID-19 tersebut, membolehkan pengesanan hotspot melalui maklumat yang diperolehi dari pengesanan contact-tracing serta mempunyai online self-screening tool bagi membuat penilaian persendirian.

Dalam sektor pendidikan, pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian (online), sudah semakin diterima pakai, sepertimana yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah di negara ini melalui pelbagai landasan online yang telah dikenalpasti. Untuk lebih memudahcara inisiatif ini, UNN juga telah bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi untuk memastikan pembelajaran dalam talian tidak terjejas dengan menambah kapasiti keatas data fixed broadband di Negara ini bagi membolehkan penuntut-penuntut mengikuti pembelajaran secara online.

Perubahan ketara yang lain termasuk peningkatan laman web untuk membeli-belah secara  online, mengikuti rutin kesihatan secara online dan melaksanakan inisiatif bekerja dari rumah (“Work From Home – WFH”) bagi mematuhi garis panduan penjarakan sosial.  Industri gig economy juga semakin kehadapan berikutan  peningkatan dalam permintaan bagi kerja-kerja freelancing dan perkhidmatan penghantaran.

Untuk jangka masa yang panjang, adalah diharapkan para pengguna akan dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang turut membawa perubahan infrastruktur dan sikap terbuka dalam memanfaatkan perubahan digital.

No Comments

Post A Comment