Sokong pelajar berkeperluan khas

Sokong pelajar berkeperluan khas

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Darussalam Assets Sdn Bhd (Darussalam Assets) telah memulakan tahun baharu ini dengan menaja penyertaan penuh dua orang pelajar berkeperluan khas di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) selama setahun.

Menurut kenyataan, ini merupakan tahun keempat berturut-turut Darussalam Assets menjadi penyumbang Special Needs Student Adoption Scheme yang dilancarkan oleh Pusat Ehsan pada 2017.

Menerusi skim itu, para penaja diberi peluang untuk menaja sepenuhnya perbelanjaan pelajar-pelajar berkeperluan khas yang antara lain termasuk sokongan pembelajaran, perkhidmatan pemulihan, perbelanjaan aktiviti-aktiviti, kemudahan dan pengangkutan.

Lebih penting lagi para penaja melabur dalam kehidupan, pertumbuhan dan perkembangan pelajar-pelajar Pusat Ehsan. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Darussalam Assets yang memfokuskan ke atas membangunkan dan mengukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Majlis penyampaian cek telah diadakan pejabat Darussalam Assets di Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Selama bertahun-tahun, Darussalam Assets telah memupuk hubungan kukuh dengan Pusat Ehsan, mengadakan lawatan-lawatan ke pusat berkenaan untuk bertemu para pelajar dan mengetahui lebih lanjut mengenai kemajuan mereka dalam pembelajaran dan perkembangan di pusat tersebut.

Menerusi lawatan-lawatan tersebut, Darussalam Assets bermatlamat untuk memahami lagi keperluan Pusat Ehsan dan para pelajarnya serta mengenal pasti peluang-peluang di mana Darussalam Assets dapat menyokong lagi pusat itu dan komuniti berkeperluan khas.

Hadir semasa penyampaian sumbangan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pelaburan) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku ketua pegawai eksekutif Darussalam Assets, eksekutif-eksekutif kanan Darussalam Assets, Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti PDNLDR Pengiran Haji Abdul Momin serta kakitangan Pusat Ehsan.

Semasa penyampaian sumbangan itu, Haji Khairuddin berkata, Darussalam Assets komited untuk menggalakkan persekitaran korporat yang bertanggungjawab sosial, yang menyokong komuniti berkeperluan khas dalam menyerlahkan potensi sepenuh mereka untuk diiktiraf sebagai orang berkemahiran serta menyumbang kadar pekerja tempatan.

“Kami bersyukur kerana dapat meneruskan sokongan kami sementara menyaksikan kemajuan yang mengubah kehidupan pelajar selama ini hasil skim itu dan kami berharap organisasi-organisasi lain akan mengikutinya,” tambah beliau.

Bercakap bagi pihak Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini berkata, “Kami sangat menghargai dedikasi dan sokongan kewangan berterusan Darussalam Assets kepada Pusat Ehsan.

“Kami memuji Darussalam Assets dan organisasi-organisasi lain yang telah lama menjadi penyumbang kepada komuniti berkeperluan khas, atas pelaburan mereka terhadap kehidupan, pertumbuhan dan perkembangan pelajar-pelajar mereka yang ingin memberikan yang terbaik. Darussalam Assets Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang ditubuhkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun 2012 untuk menggabungkan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan Brunei.

Darussalam Assets merupakan bahagian penting bagi kerajaan untuk mengetuai inisiatif bagi meningkatkan perkembangan ekonomi, dengan tujuan untuk menukar syarikat-syarikat menjadi syarikat perbadanan berkelas dunia. Portfolionya bagi syarikat-syarikat dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk penerbangan, telekomunikasi, tenaga kuasa, logistik, agriperniagaan, makanan dan minuman, rekreasi dan pelancongan, perubatan, pendidikan, hospitaliti dan hartanah.

Pusat Ehsan merupakan sebuah pertubuhan kebajikan bukan kerajaan yang komited untuk memberikan pendidikan berkualiti, pemulihan dan program latihan kepada individu berkeperluan khas. Visi mereka untuk membolehkan komuniti berkeperluan khas mampu menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Program-program Pusat Ehsan menyokong setiap individu berkeperluan khas dalam pendidikan, latihan dan pemulihan fizikal. Syarikat-syarikat yang berhasrat menaja pelajar boleh mengetahui lebih lanjut di www.pusatehsan.org.bn

MEDIA PERMATA

(source: https://mediapermata.com.bn/sokong-pelajar-berkeperluan-khas/)

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.